Wednesday, July 20, 2011

buat diri ini yang selalu lalai :)

"Tidak sempurna Iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

CITA-CITA adalah garapan impian dan harapan seseorang akan masa depannya. Motivasi paling setia dalam rangka sebuah kejayaan, pembakar semangat kental dalam menapak maju ke hadapan. Sebuah eskalator termaju dalam pencarian erti kehidupan sebenar. Insan tanpa CITA-CITA, ibarat aliran air dari pergunungan menuju ke dataran rendah. Terus mengalir namun tiada pedoman arah tujunya.

CITA-CITA adalah ibarat sebuah bangunan, terbina dari susunan batu-bata kekentalan, tercantum dengan simen pengetahuan dan terteguh dengan pasir keyakinan. CITA-CITA bukanlah hanya ingin menjadi ternama, mempunyai prospek kerjaya mahupun menjadi usahawan berjaya, namun CITA-CITA tertinggi adalah menggapai keredhaan Illahi duniawi juga ukhrawi.

Renungilah, apakah wujud al-Mizan CINTA dan CITA-CITA? Perlukah CINTA itu dipisahkan dengan CITA-CITA? Mampukah CITA-CITA itu dipertahankan tanpa sebuah CINTA? Haruskah CINTA itu hadir setelah diperoleh CITA-CITA?

Percayalah, CINTA dan CITA-CITA adalah dua komponen yang seiring landas geraknya, saling melengkapi dalam memperteguh matlamat keduanya. Ibarat perlunya malam kepada siang, signifikannya suami kepada isteri dan hadirnya cahaya dalam kegelapan.

Dalam travelog CITA-CITA, kita perlukan kekuatan, menahan segala dugaan dan rintangan yang bukan sedikit cuma dan hadirnya CINTA sebagai sumur dalam perjuangan.

Sebab itulah perlu ditegaskan bahawa pengertian CINTA itu luas lingkup tafsirannya. Rahmat Allah adalah CINTA buat kita, kasih sayang ibu bapa adalah CINTA buat kita, sokongan sahabat-sahabat adalah CINTA juga buat kita. Mustahillah, bagi kita andai dikatakan semua ini tidak perlu dalam mengejar kemurniaan CITA-CITA. CINTA adalah teman setia CITA-CITA. Raja kepada CINTA ini adalah hati yang dijalin atas nama Maha Pencipta.

Oleh itu, fikirlah tentang al-Mizan CINTA dan CITA-CITA. Yang halus timbangannya, atas redha Allah CINTA dan CITA-CITA bersatu. Walaupun siapa kita, tanah mana kita berpijak dan langit mana kita bernaung, janganlah sesekali kita pisahkan keduanya. Moga atas jambatan CINTA Allah, bertautlah keimanan tulus dalam naluri kita yang kudus, dan moga atas rahmat Allah jugalah, CITA-CITA yang digarap atas nama CINTA-NYA mampu digapai dalam inayahnya.

Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment